KOTA KINABALU, SABAH – Rundingan di antara Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan PETRONAS bagi membincangkan Perjanjian Kerjasama Komersial atau Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya Commercial Collaboration Agreement (CCA) telah berjaya dimuktamadkan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, persefahaman dan persetujuan telah dicapai di antara kedua belah pihak sekali gus memastikan perjanjian CCA akan dapat ditandatangani dalam tempoh terdekat.
“Setelah sekian lama isu legasi berkaitan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) mendasari isu berkaitan minyak dan gas kita, Insya Allah, perjanjian ini akan membawa nilai dan makna yang lebih besar kepada Sabah…
“Sabah akan mendapatkan perkongsian hasil yang lebih besar (greater revenue sharing), penyertaan dan penguasaan yang lebih besar (greater participation and greater say) dalam hal berkaitan minyak dan gas,” katanya dalam Ucapan Belanjawan Negeri Tahun 2022 di Dewan Undangan Negeri hari ini.
Sementara itu, Kerajaan Negeri dan PETRONAS telah membuat kajian bersama bagi menentukan nilai tambah industri gas yang boleh memberikan pulangan ekonomi jangka panjang untuk Sabah.
Hajiji berkata Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk PETRONAS membina kemudahan gas asli cecair (LNG) yang berdasarkan konsep “nearshore” (dekat dengan pantai) yang pertama di negeri ini iaitu di SOGIP, Sipitang.
“Di samping itu, Sabah juga akan mempunyai peruntukan gas untuk menyokong industri hiliran di negeri ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri berkeyakinan tinggi bahawa Kerajaan Persekutuan memahami keperluan dan tuntutan pembangunan negeri dan rakyat di Sabah.
“Kita bersyukur kerana bukan sahaja Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) meletakkan komitmen untuk melonjakkan pembangunan Sabah sebagai salah satu daripada sembilan fokus utama, tetapi buat kali pertama dalam sebuah dokumen Rancangan Malaysia, jaminan dan komitmen dasar digariskan untuk menyelesaikan isu-isu tertangguh berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kerajaan Negeri mengalu-alukan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk meneruskan siri perundingan melalui Majlis Khas MA63,” kata Hajiji.
Menurutnya, pelbagai status kemajuan telah berjaya dicapai dan Kerajaan Negeri ini akan terus memantau dengan teliti untuk memastikan hak dan kepentingan negeri dapat ditunaikan.





