KOTA KINABALU, SABAH – Kawasan setinggan yang menceroboh tanah milik Jabatan Perikanan di sekitar Kampung Unggun, Menggatal di sini, bakal dimusnahkan, demikian menurut Menteri Pertanian dan Perikanan Negeri Sabah.
Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata kementeriannya bertindak di atas aduan pihak awam.
Menurutnya, penceroboh yang juga disyaki Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) itu bukan sahaja membina rumah secara haram malah membahagi plot untuk aktiviti penanaman sayuran.
“Tanah seluas 380 ekar tersebut telah digazet untuk Jabatan Perikanan maka kerajaan negeri mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang di bawah Ordinan Tanah Sabah (Bab 68)…
“Pihak DBKK juga berkuasa mengambil tindakan di bawah Undang-undang Kecil (Bangunan) 1951 atau peraturan-peraturan lain berkenaan isu pengunaan tanah,” dia berkata dalam sebuah kenyataan hari ini.

Mengulas lebih lanjut beliau berkata aktiviti itu seolah telah berlarutan sekian lama memandangkan jumlah rumah haram di Kampung Unggun mencecah 300 buah di atas tapak keluasan 100 ekar.
Terdahulu, beberapa laporan polis telah dibuat yang membawa kepada perobohan beberapa rumah haram di kawasan itu termasuk pemotongan penyambungan bekalan elektrik secara haram dalam operasi melibatkan beberapa agensi.
“Tapi hal itu kelihatan terus berlaku. Kita harus mencari sebuah penyelesaian muktamad.
“Sekali lagi kementerian ini akan berkerjasama dengan pihak polis, DBKK, dan Jabatan Tanah dan Ukur untuk melakukan kerja-kerja perobohan…
“Pada masa yang sama kita harus memastikan bahawa penduduk setinggan yang keras kepala ini tidak kembali menceroboh atau hal ini tidak akan melihat penghujungnya,” ujar beliau.