KOTA KINABALU, SABAH – Sabah mencatatkan penurunan ketara kes baru COVID-19 sebanyak 118 kes iaitu daripada 350 kes pada Selasa kepada 232 KES kelmarin (Rabu).
Kota Kinabalu, Tawau dan Tuaran merupakan daerah dengan kadar jangkitan tertinggi manakala TIGA (3) kematian dilaporkan di dearah Tawau.
Namun begitu, Jurucakap COVID-19 negeri Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, DUA (2) kluster baharu juga telah dikenal pasti.
“KLUSTER LOT SEMBILAN di Beaufort, Kuala Penyu mula direkodkan di Hospital Beaufort apabila kes indeks, pegawai lelaki, 36, di Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Cawangan Kuala Penyu dikesan positif dalam saringan bergejala pada 24 Mei…
“Saringan kontak kemudiannya mendapati 11 pekerja AIM positif COVID-19, termasuk empat (4) orang yang berulang-alik bertugas di Pejabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Labuan.
“Hal ini telah membawa kepada penularan wabak dalam kalangan ahli keluarga yang kini mencatat jumlah kumulatif sebanyak 24 kes,” ulas beliau.
“KLUSTER JALAN WISMA di Kota Kinabalu melibatkan tujuh (7) kes positif COVID-19 dalam kalangan pekerja B Bang Capsule Hotel, di pusat bandar raya…
“Kes indeks merupakan lelaki, 24, tukang masak di hotel tersebut dikesan positif melalui saringan bergejala di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Harington pada 4 Jun 2021 dan telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.
“Susulan kes itu, 25 sampel telah diambil dan mendapati enam (6) lagi kes positif, 12 negatif sementara enam (6) sampel masih menunggu keputusan.
“Berdasarkan siasatan awal, penularan jangkitan COVID-19 berpunca daripada kurangnya pemahaman mengenai pematuhan SOP yang ketat dalam kawasan tempat kerja,” beliau berkata.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri juga telah memutuskan untuk membenarkan fasiliti kedai runcit, kedai serbaneka dan kantin (bawa pulang sahaja) dalam hospital kerajaan dan swasta beroperasi 24 jam.