KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri kekal dengan pendirian tidak bersetuju terhadap tuntutan kerajaan Indonesia berhubung hak kedaulatan Ambalat di Laut Sulawesi.
Memetik sumber Berita Harian, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pendirian pihaknya itu jelas, konsisten dan tidak akan berganjak daripada sebarang cubaan negara jiran itu untuk mengambil kawasan berkenaan.
Katanya, kerajaan negeri tetap mempertahankan kawasan Ambalat yang dikenal pasti kaya dengan sumber minyak dan gas sebagai milik Sabah dan negara.
“Saya ingin menyatakan bahawa rundingan mengenai Laut Sulawesi tidak pernah ditandatangani. Apa yang ditandatangani sebelum ini hanya membabitkan perairan 12 batu nautika.
“Sebelum ini, tidak pernah ada perundingan atau persetujuan dalam persempadanan terbabit, tapi yang jadi persoalan sekarang ialah sama ada kita setuju atau tidak dalam tuntutan Laut Sulawesi atau Ambalat.
“Ini tidak pernah dipersetujui dan masih dalam rundingan dengan Indonesia. Itu yang saya dapat tahu dalam taklimat dan penerangan yang diberikan oleh Kementerian Luar kepada kerajaan negeri,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Senallang – WARISAN) berhubung kedudukan sebenar Ambalat selepas pertemuan Presiden Indonesia, Joko Widodo dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini.
Hajiji berkata, kerajaan negeri tidak pernah bersetuju terhadap tuntutan Indonesia.
“Sekarang kita masih dalam perundingan dan baru-baru ini iaitu pada 16 hingga 17 November lalu, satu perundingan dibuat di Indonesia dan kita diwakili antaranya oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dan Peguam Besar Sabah.
“Namun, belum ada apa-apa pencapaian kerana pendirian kita tegas dalam perkara ini, iaitu kita tidak akan sewenang-wenangnya memberi hak kita di Laut Sulawesi,” katanya.
Menjawab soalan asal Mohd Shafie yang meminta penjelasan mengenai rundingan dengan Indonesia berkaitan Pulau Sebatik di bawah Perjanjian Laut Sulawesi, Hajiji berkata, Malaysia dan Indonesia komited menyelesaikan persempadanan darat dan persempadanan laut wilayah secara menyeluruh.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini tiada apa-apa persetujuan dibuat melalui platform mesyuarat dua hala yang berkaitan Pulau Sebatik dan Laut Sulawesi.
“Kerajaan negeri juga dilibatkan secara aktif dalam platform mesyuarat dua hala ini yang diketuai oleh Kementerian Luar dan akan memastikan setiap perundingan atau cadangan persempadanan Sabah, Malaysia dan Indonesia dibentang dan dirujuk kepada jemaah Menteri Sabah terlebih dahulu untuk mendapat asas perundingan, hala tuju dan ketetapan,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri tegas dengan pendirian bahawa persempadanan negeri Sabah di Pulau Sebatik adalah di garisan sempadan memanjang sepanjang 4°10′ bermula dari East Pillar sehingga ke Low Water Line di sebelah timur Pulau Sebatik.
Beliau berkata, sempadan maritim yang ditandatangani melalui Triti Laut Sulawesi sebelum ini hanya membabitkan 12 batu nautika dan tidak mendatangkan kerugian kepada negeri Sabah.
“Perundingan penetapan sempadan maritim bagi kawasan yang melebihi 12 batu nautika sehingga 200 batu nautika di Laut Sulawesi (dalam kawasan ND6 dan ND7) yang menjadi Zon Eksklusif Ekonomi (EEZ) masih belum dimulakan,” katanya.