Sabah Lancar Tiga Garis Panduan Klinikal Perkukuh Penjagaan Kesihatan

Sabah Lancar Tiga Garis Panduan Klinikal Perkukuh Penjagaan Kesihatan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sabah melakar pencapaian baharu dalam bidang perubatan keluarga dengan pelancaran tiga garis panduan klinikal iaitu Sabah Obstetric Shared Care Guideline (SOSCG) Edisi Kelima, Manual Intervensi Awal Kanak-kanak Lewat Perkembangan Bahasa (SpeakWithMe), serta Manual Perkhidmatan Rawatan Harian Fototerapi Bayi di Klinik Kesihatan.

Menurut Ketua Kepakaran Perubatan Keluarga Sabah, Dr. Haryati Hamzah, SOSCG menjadi tonggak penjagaan obstetrik sejak 2008, dan edisi kelima ini memperkenalkan enam seksyen baharu serta 18 topik tambahan yang berasaskan bukti terkini. Panduan ini juga telah diiktiraf di peringkat kebangsaan.

Manual SpeakWithMe pula dibangunkan bagi menangani isu kelewatan rawatan pemulihan pertuturan, membolehkan pengesanan awal serta intervensi segera di klinik kesihatan.

Usaha ini dijangka mengurangkan masa menunggu yang sebelum ini mencecah lebih setahun.

Sementara itu, manual fototerapi memberi tumpuan kepada rawatan jaundis neonatal berisiko rendah di klinik kesihatan luar bandar.

Dengan 20 mesin di 11 klinik di sembilan daerah, lebih 700 bayi telah mendapat manfaat pada 2024, sekali gus mengurangkan beban hospital dan membawa rawatan lebih dekat kepada komuniti.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah (Kesihatan Awam), Dr. Nirmal Kaur, menegaskan ketiga-tiga garis panduan ini melambangkan kepakaran dan kolaborasi pelbagai disiplin perubatan serta akademik.

Beliau berkata, dokumen itu perlu diterjemahkan ke dalam amalan seharian bagi memastikan penjagaan kesihatan rakyat Sabah lebih menyeluruh, berterusan dan mesra komuniti.