SABAH RANCANG TUBUH MAJLIS PENDIDIKAN DAN LATIHAN TEKNIKAL, VOKASIONAL: KM HAJIJI

SABAH RANCANG TUBUH MAJLIS PENDIDIKAN DAN LATIHAN TEKNIKAL, VOKASIONAL: KM HAJIJI

0
SHARE
Hajiji
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyampaikan Anugerah Tangan Emas Ketua Menteri kepada Mohamad Shawal dari Institut Kemahiran Mara (IKM) Kota Kinabalu pada Majlis Anugerah Tangan Emas Ketua Menteri dan Perasmian Penutupan Pertandingan WorldSKills Malaysia Sabah 2024 di Dewan Seri Kinabalu, Institut Kemahiran Mara (IKM) - ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri merancang menubuhkan Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (MPLTV) untuk memperkasakan pelaksanaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, MPLTV akan ditubuhkan selewat-lewatnya awal tahun hadapan, dengan kerajaan negeri memberikan sokongan yang signifikan terhadap program TVET melalui pelbagai inisiatif dan peruntukan.

Katanya, dalam usaha memperkukuhkan modal insan, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM33 juta untuk pelaksanaan kursus dan latihan kemahiran sains, teknologi dan inovasi pada tahun ini.

“Namun, kita masih berdepan dengan beberapa cabaran dalam usaha memperkasakan TVET di negeri ini, termasuklah berkaitan infrastruktur dan kelengkapan latihan yang perlu diberi perhatian bagi memastikan pelajar TVET kita mendapat latihan berkualiti dengan kemudahan terkini.

“Kita juga memerlukan lebih ramai tenaga pengajar berkemahiran yang dapat menyampaikan ilmu dan latihan berkualiti kepada para pelajar”, katanya pada Majlis Anugerah Tangan Emas Ketua Menteri dan Perasmian Penutupan Pertandingan WorldSkills Malaysia Sabah 2024 di Dewan Seri Kinabalu, Institut Kemahiran Mara (IKM) pada Sabtu.

Beliau percaya dengan kerjasama semua pihak dalam industri berkaitan dapat menangani cabaran tersebut dan mahu kerjasama erat antara institusi pendidikan tinggi seperti Politeknik dan Kolej Komuniti dengan pihak industri berterusan dalam usaha membantu memperkasakan bidang TVET di Sabah.

Hajiji berharap kerjasama dan komitmen daripada pelbagai pihak dalam bidang kemahiran dan industri dapat diteruskan dan dipertingkatkan bagi menyokong agenda memperkasakan TVET di negeri ini.

Katanya, TVET mampu membantu melahirkan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi dalam bidang seperti kejuruteraan, teknologi maklumat, perladangan, pelancongan, dan perindustrian, membantu memenuhi permintaan industri tempatan, seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

Menurutnya, TVET turut memainkan peranan dalam menyediakan pekerja dengan kemahiran teknologi seperti automasi, kecerdasan buatan (AI), robotik, dan Internet Pelbagai Benda (IoT) yang menjadi asas dalam era Revolusi Industri 4.0, selain bidang perniagaan dan keusahawanan.

“Saya yakin dengan melahirkan tenaga kerja yang cekap, produktif, dan berkemahiran tinggi, TVET menjadikan Sabah lebih menarik kepada pelabur asing yang memerlukan tenaga kerja berkualiti.

“Daya saing ini penting untuk menarik pelaburan asing dalam sektor berteknologi tinggi, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang mapan,” tegasnya.