Sabah, Sarawak Telah Bersepakat Bentuk Blok Borneo

Sabah, Sarawak Telah Bersepakat Bentuk Blok Borneo

0
SHARE
Sidang media Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Hajiji Noor di kediaman rasmi Sri Gaya...

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri Sabah telah bersepakat bersama Sarawak membentuk Blok Borneo yang menyokong kerajaan baharu Persekutuan yang bakal dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Hajiji Noor berkata kata putus terbabit dicapai selepas perbincangan menerusi panggilan telefon bersama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.

Menurutnya, kerajaan yang bakal disokong Sabah dan Sarawak harus mampu memberi kestabilan politik kepada seluruh negara.

“Kita pun sudah mengetahui mengenai dengan keputusan PRU15 dan saya telah berbincang dengan Premier Sarawak, Abang Jo bahawa kita sepakat untuk menyokong kerajaan yang akan dibentuk di Persekutuan yang boleh bawa kestabilan politik bukan saja di negara kita tapi di Sabah dan Sarawak.

“Sebagai mana kita maklum, Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN) mendapat 13 daripada 25 kerusi dan satu Perikatan Nasional (PN), jadi 14 kerusi semuanya.

“Kerusi ini akan kita bawa untuk beri sokongan kepada kerajaan yang boleh membawa kestabilan kepada kita,” katanya dalam sidang media di kediaman rasmi Sri Gaya, pagi tadi.

Dalam pada itu, Hajiji yang juga merupakan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU itu tidak menyatakan gabungan parti mana yang akan disokong GRS-BN untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

“Gabungan mana itu kita akan bincangkan kemudian tetapi kita lebih kepada sebuah kerajaan yang beri kestabilan kepada Sabah…

“Bagaimanapun, setakat ini saya tidak dapat cakap (gabungan mana) kerana belum ada keputusan rasmi, nanti kita akan buat satu kenyataan lagi,” katanya.

Hajiji juga turut menegaskan GRS-BN perlu melihat parti yang mampu memberi kebaikan kepada Sabah dan Sarawak sebelum membuat sebarang keputusan gabungan mana yang akan disertai kelak.