KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri berpegang kepada prinsip kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, hari ini berkata Sabah tegas dengan pendirian untuk menyatakan tidak kepada cadangan kerajaan persekutuan untuk memperkenalkan Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam sebagai salah satu daripada empat undang-undang syariah baharu yang akan diperkenalkan.
Cadangan itu diantara 11 Rang Undang-undang (RUU) syariah baru yang sedang digubal, umum Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama Islam), Ahmad Marzuk Shaary pada Selasa.

“Seperti di negeri ini, Sabah adalah negeri yang mempunyai penduduk pelbagai kaum dan agama serta hidup dalam keadaan harmoni dan aman sejak sekian lama…
“Walaupun mempunyai pelbagai kaum dan anutan kepercayaan masing-masing, kita saling menghormati antara satu sama lain dan tiada masalah,” kata Hajiji sambil menambah kepelbagaian kaum dan agama menjadi tonggak perpaduan rakyat negeri Sabah.