KOTA KINABALU, SABAH – Sabah pada kelmarin, Jumaat menyaksikan angka kes tertinggi positif COVID-19 baharu dengan 1,066 KES.
Enam kes kematian turut dilaporkan di mana tiga (3) adalah daripada daerah Beaufort, manakala Sandakan, Kudat dan Penampang masing-masing mencatatkan satu (1) kes.
Jurucakap COVID-19 negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata hasil Sarıngan Kontak Rapat masih lagi merupakan penyumbang paling tinggi iaitu sebanyak 640 kes atau 60.04 peratus (60.04%) daripada kumulatif kes bagi Jumaat.
DUA (2) kluster baharu turut direkodkan.
‘Kluster Batu Dua’ di Tawau melibatkan perebakan jangkitan COVID-19 di tempat kerja iaitu kedai roti.
“Kes indeks merupakan lelaki, 58, dari Batu 2 Lorong Habib Abdul Rahman dan tidak bekerja telah disahkan positif hasil saringan bergejala di hospital swasta pada 17 Julai 2021…
“Saringan kontak rapat mendapati tiga (3) rakan serumah positif, salah satu daripadanya adalah anak kepada kes indeks yang bekerja di kedai roti terbabit.
“Setakat hari ini, daripada 66 kontak yang telah disaring, kluster ini merekodkan 27 kes positif,” kata Masidi.
Manakala, ‘Kluster Gunsapau’ yang melibatkan daerah Ranau dan Kota Marudu pula dikategorikan sebagai kluster komuniti.
“Penularan jangkitan COVID-19 kluster ini melibatkan kontak sosial di Kampung Tagibang dalam daerah Kota Marudu…
“Kes indeks merupakan wanita, 24, disahkan posiitf pada 21 Julai 2021, diikuti empat (4) kontak positif pada hari berikut melalui saringan bergejala.
“Turut dikesan positif adalah kontak serumah kes indeks di Kampung Pugi Gunsapau, Kampung Nawanon dan Kampung Tagibang di Kota Marudu pada 24 dan 27 Julai.
“Dalam tempoh itu,164 sampel telah disaring dan mengesan 64 kes positif,” katanya lagi.
Dalam pada itu, 22 lokaliti akan diletak di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 1 Ogos sehingga 14 Ogos.
“Ini termasuk enam lokaliti di Tawau iaitu Bandar Sabindo, Kampung Rancangan Sungai Tongkang, Taman Kukusan, Batu 2 Lorong Habib Abdul Rahman Jalan Apas, PPR Sri Semarakdan Taman Berjaya…
“Lima Lokaliti di Keningau iaitu Kampung Bariawa Laut, Kampung Baitah, Kampung Panagatan Ulu, Kampung Kota Ayangan dan Rumah Kongsi Jutaya Lingkudau.
“Tiga Lokaliti di Kudat iaitu Kampung Seri Aman, Taman Orkid dan Kampung Damaran Banggi.
“Tiga Lokaliti di Sandakan iaitu Kampung Lupak Meluas Darat, Kampung Sundang Laut dan Flat Taman Sejati.
“Dua Lokaliti di Kota Kinabalu iaitu Taman Sempelang, Sembulan dan Kampung Sembulan Tengah dan Lama…
“Kampung Tempasuk di Kota Belud, Kampung Tengah Padang di Putatan dan Kampung Babagon di Penampang,” jelasnya.