Satu Maut, Dua Cedera, Lori 3 Tan Terbabas Sendiri di Sook

Satu Maut, Dua Cedera, Lori 3 Tan Terbabas Sendiri di Sook

0
SHARE

SOOK: Seorang maut, manakala dua lagi dilaporkan mengalami kecederaan selepas lori tiga tan yang dinaiki ketiga-tiga mereka terbabas sendiri dalam kejadian kemalangan di Jalan Sinaran Kampung Tengah Sook awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook, PBK I Maimin Yabin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 6.58 pagi. 

Susulan itu, katanya, seramai tujuh anggota dari BBP Sook bersama pasukan kesihatan (KKM) dan keselamatan (PDRM) telah dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 60 kilometer dan tiba pada jam 8.21 pagi.

“Terdapat tiga orang mangsa lelaki terlibat dalam kemalangan tersebut telah terkeluar dari lori tersebut sewaktu terjadi kemalangan.

“Dua mangsa lelaki masing-masing berusia 47 tahun dan 39 tahun mengalami kecederaan telah diberi rawatan oleh Pasukan Bomba dan KKM dan seterusnya mangsa cedera dikejarkan ke Hospital oleh Ambulan KKM bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.

“Manakala seorang lagi mangsa lelaki berusia 30-an telah meninggal dunia dilokasi disahkan oleh Pegawai KKM dan seterusnya mangsa diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Operasi seterusnya ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.47 pagi.