SEBAHAGIAN TANAH SFI AKAN DIKELUARKAN UNTUK PENDUDUK DI TENOM: KM HAJIJI

SEBAHAGIAN TANAH SFI AKAN DIKELUARKAN UNTUK PENDUDUK DI TENOM: KM HAJIJI

0
SHARE
Hajiji
Hajiji menerima dokumen tuntutan tanah hak asasi masyarakat Daerah Kecil Kemabong daripada wakil pemimpin setempat pada majlis perasmian Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah Bahagian Kemabong Tahun 2024 di Dewan Sri Ontoros, Kemabong ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

TENOM, SABAH – Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor memberi jaminan akan memastikan sebahagian tanah dalam kawasan Sabah Forest Industry (SFI) di daerah ini dikeluarkan dan diwartakan sebagai tanah perkampungan.

Katanya, beberapa ribu hektar tanah dalam kawasan konsesi perhutanan syarikat berkenaan sudah dikenal pasti untuk dikeluarkan supaya penduduk dapat terus mendudukinya secara sah.

Pada masa yang sama, katanya beliau juga akan mengarahkan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) untuk melaksanakan program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) di daerah ini.

Beliau berkata, ia bagi menyelesaikan tanah yang sudah lama diduduki dan diusahakan penduduk kampung dapat disukat dan dikeluarkan geran kepada pemiliknya.

“Saya nyatakan bahawa kita akan memastikan beberapa ribu ekar tanah dalam SFI dikeluarkan untuk perkampungan rakyat kita di Tenom.

“Begitu juga tanah yang belum disukat, saya akan minta Pengarah JTU untuk menggunakan program PANTAS bagi mengukur tanah penduduk supaya tanah yang sudah lama diusahakan diberi geran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Kemabong di Dewan Sri Ontoros, Kemabong, di sini, semalam.

Beliau memberikan maklum balas terhadap beberapa usul yang dikemukakan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kemabong, Datuk Rubin Balang berkaitan dengan kepentingan rakyat kawasan itu.

Bercakap pada sidang media selepas itu, Hajiji berkata beliau akan memanggil syarikat berkenaan bagi membincangkan usul untuk mengeluarkan sebahagian daripada tanah SFI itu.