
KUALA PENYU, SABAH – Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yakin Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu mampu menyumbangkan satu kerusi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.
Naib Presiden I Gagasan Rakyat, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata selain persiapan jentera parti untuk menghadapi pilihan raya, hubungan baik dikalangan pihaknya dengan parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta gabungan Pakatan Harapan (PH) menjadi faktor DUN terbabit menjadi antara kubu kuat pihaknya.
“Ada dua perkara yang saya sentuh. Pertama persediaan yang memerlukan persiapan di kalangan ahli kita, tambah ahli dan cawangan masing-masing.
“Kedua kita eratkan hubungan baik dengan komponen dalam GRS itu sendiri dan rakan-rakan dalam PH. Ini antara faktor utama yang boleh menentukan kejayaan kita. Macam di Kuala Penyu ini saya anggap sebagai kubu kuat untuk GRS.
“Ditambah lagi dengan sokongan kerjasama daripada rakan-rakan PH, Insya Allah Kuala Penyu boleh menyumbang satu kerusi untuk GRS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Kuala Penyu bertempat di Dewan Dato Shahbandar Makang di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kuala Penyu, Datuk Limus Jury.
Dalam pada itu, Mohd Arifin turut berkata beliau turut menekankan peranan semua ahli dan pemimpin tertinggi parti untuk menjelaskan sumbangan kerajaan yang diterajui GRS kepada rakyat dalam tempoh empat tahun ini.
“Perkara inilah yang harus dijelaskan kerana pembangkang tidak pernah melihat kebaikan kita.





