KOTA KINABALU, SABAH – Sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabah, Rohiman Rahia dengan berkata; “Sebanyak 73 kerusi akan dipertandingkan.”
Menurut sumber, SPR mengesyorkan jumlah Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri bagi Negeri Sabah ditambah sebanyak 13 Bahagian yang menjadikan jumlah keseluruhan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri bagi Negeri Sabah sebanyak 73 Bahagian.
Tiga belas (13) DUN berkenaan ialah N02 Bengkoka, N06 Bandau, N08 Pintasan, N13 Pantai Dalit, N17 Darau, N24 Tanjung Keramat, N27 Limbahau, N44 Tulid, N47 Telupid, N51 Sungai Manila, N58 Lamag, N61 Segama dan N70 Kukusan.
Sebelum ini pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, sebanyak 60 kerusi DUN telah dipertandingkan, namun pada Julai tahun lepas Dewan Rakyat meluluskan usul tambahan 13 kerusi DUN Sabah yang mana menjadikan kedudukan semasa 73 kerusi.
PRN Sabah bakal diadakan dalam tempoh 60 hari selepas DUN semasa dibubarkan…
Perkara itu diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada Khamis lalu, beberapa jam selepas bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman mengumumkan telah memperoleh ‘majoriti mudah’ untuk membentuk kerajaan negeri baharu di Sabah.