KOTA KINABALU: Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) menafikan dakwaan bahawa gangguan bekalan gas daripada syarikat itu menjadi punca gangguan operasi dan pelupusan produk oleh Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC).
Menurut kenyataan SEC, gangguan yang berlaku berpunca daripada masalah di peringkat huluan yang berada di luar kawalan mereka dan bukan disebabkan oleh sistem pengedaran SEC sendiri.
“Tiada bukti yang mengaitkan secara langsung bekalan gas oleh SEC dengan kerosakan ke atas peralatan milik KTC.
“Sistem pengedaran kami kekal beroperasi dalam julat parameter keselamatan yang ditetapkan sepanjang tempoh kejadian,” katanya dalam sebuah kenyataan.
SEC memaklumkan dua sesi pemeriksaan telah dijalankan bersama pasukan teknikal KTC dan pembekal peralatan mereka selepas insiden itu.
“Hasil siasatan mendapati masalah berpunca daripada beberapa kebocoran dalam sistem ketuhar milik KTC sendiri.
“Komponen utama di stesen jualan SEC seperti pengawal tekanan dan injap pelepas tekanan (PRV) turut disahkan berada dalam keadaan baik dan berfungsi secara stabil.
“Tindakan SEC mengasingkan bekalan gas ketika itu adalah langkah pencegahan keselamatan selaras dengan prosedur operasi standard apabila terdapat syak wasangka kebocoran, dan pemeriksaan lanjut telah dijalankan segera,” tambah kenyataan itu.
Tegasnya, tiada dapatan teknikal sahih yang mengaitkan kerosakan peralatan dengan integriti bekalan gas daripada SEC.






