Annuar Musa Gesa PN Sokong GRS Dalam PRN Sabah

Annuar Musa Gesa PN Sokong GRS Dalam PRN Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Timbalan Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Seri Annuar Musa berkata Perikatan Nasional (PN) wajar menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Beliau berkata ini memandangkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sudah mengumumkan kerjasama mereka, kata pemimpin PAS.

“Kerjasama PH-BN menunjukkan gabungan kerajaan persekutuan itu berhasrat mendominasi landskap politik Sabah.

“Gabungan Muafakat Nasional yang pernah wujud antara PAS dan Umno sebelum ini turut berpendirian bahawa parti-parti tempatan di Sabah dan Sarawak harus disokong, bukannya ditentang.

“Saya berharap PN dapat pertimbang untuk menyokong GRS. Malah, jika perlu, kita boleh kaji kemungkinan bertanding atas tiket GRS atau tidak bertanding langsung dalam PRN negeri.

“Lagipun, GRS dahulu pernah menjadi sebahagian daripada PN,” kata bekas Setiausaha Agung Umno itu menerusi satu hantaran di Facebook.

Sementara itu, Malaysiakini melaporkan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Ibrahim Man sebagai berkata kemungkinan besar PAS tidak akan menggunakan lambang bulan dalam PRN Sabah kali ini.

Katanya, PAS mungkin akan menggunakan lambang rakan gabungan yang akan disertainya kelak.

Beliau turut mencadangkan satu pakatan besar antara PN dan parti-parti tempatan seperti GRS dan Warisan untuk menentang gabungan BN-PH dalam pilihan raya itu.