Sekreteriat SMJ Nafi Tawar Bantuan Kewangan Melalui WhatsApp, Ingatkan Orang Ramai Waspada...

Sekreteriat SMJ Nafi Tawar Bantuan Kewangan Melalui WhatsApp, Ingatkan Orang Ramai Waspada Taktik Penipuan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa pihaknya ada menawarkan bantuan kewangan, geran atau skim khas kepada orang awam melalui WhatsApp, mesej peribadi, atau mana-mana saluran tidak rasmi.

Dalam satu kenyataan hari ini, SSMJ menjelaskan bahawa tindakan pihak tidak bertanggungjawab menggunakan nama dan logo sekretariat untuk menipu orang ramai adalah cubaan penipuan yang serius dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan agensi itu.

“Untuk makluman, SSMJ tidak pernah mengeluarkan sebarang bentuk tawaran bantuan kewangan, geran atau skim khas melalui saluran komunikasi tidak rasmi. Sebarang pengumuman rasmi hanya disalurkan melalui saluran rasmi Kerajaan Negeri Sabah atau portal rasmi SSMJ,” tegas kenyataan itu.

SSMJ turut menasihatkan orang ramai agar berwaspada dan tidak mudah mempercayai mesej mencurigakan yang menggunakan nama sekretariat tersebut, serta tidak berkongsi maklumat peribadi atau membuat sebarang transaksi kewangan kepada individu yang tidak dikenali.

Orang awam yang menerima mesej sedemikian digesa untuk segera membuat laporan kepada pihak polis bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

Kenyataan itu turut mengingatkan masyarakat untuk sentiasa mendapatkan maklumat sahih melalui laman web rasmi Kerajaan Negeri Sabah atau platform media sosial rasmi SSMJ.

“Dengan penjelasan ini, SSMJ berharap agar orang ramai terus berwaspada dan tidak terpedaya dengan taktik penipuan yang menggunakan nama Sekretariat Sabah Maju Jaya,” menurut kenyataan itu lagi.