
VENEZUELA – Pengorbanan seorang ibu yang menolak tepi keselamatannya demi menyelamatkan dua anaknya di sini tular dan menyentuh hati banyak pihak terutamanya para golongan ibu.
Mariely Chacón, 40, seorang ibu di Venezuela meninggal dunia secara tragis setelah kapal dinaiki karam di Lautan Atlantik dalam satu pelayaran, namun dia sempat menyelamatkan DUA (2) anak kecilnya iaitu Jose David dan Maria Beatriz Camblor Chacon dengan cara menyusukan mereka.
Newsweek melaporkan Chacón berlayar dari Higuerote ke Pulau Tortuga, Miranda di Venezuela, bersama-sama suaminya; Remis Clambor, pengasuh; Verónica Martinez, rakan-rakan dan kru.
Kapal yang karam akibat dibadai ombak dan hancur akibat gelombang, Chacón dilaporkan hanyut sejauh 70 batu ke tengah laut bersama dua anaknya yang berusia enam dan dua tahun.
Menurut Sumber LAD Bible, Chacón difahamkan terpaksa berkorban dengan meminum air kencingnya sendiri supaya dia boleh terus menghasilkan susu untuk menyusukan anak-anaknya kerana melalui detik yang sukar serta mencabar di tengah lautan tanpa sebarang makanan dan minuman.
Pengasuh anaknya, Martinez turut terselamat dalam insiden karam dan difahamkan berpaut di dalam sebuah tong kosong.
Mereka ditemui oleh pihak berkuasa empat hari kemudian dan ketika ditemui Pihak Berkuasa mengesahkan bahawa Chacón telah meninggal dunia.
Memetik sumber akhbar tempatan La República, bedah siasat mendedahkan organ penting Chacón gagal berfungsi kerana kekurangan elektrolit yang disebabkan oleh dehidrasi, berkemungkinan dicepatkan oleh penyusuannya.
Anak-anak Chacón serta pengasuh mereka, Martinez dibawa ke hospital untuk rawatan manakala lima lagi individu masih hilang.
Pihak berkuasa maritim Venezuela, Venezuela’s National Maritime Authority (INEA) mengesahkan kejadian tersebut.
“Ibu yang meninggal dunia itu memelihara anak-anaknya dengan menyusukan mereka dan meminum air kencingnya sendiri…
“Dia meninggal tiga atau empat jam sebelum operasi menyelemat. Kematiannya disebabkan dehidrasi susulan tidak meminum air selama tiga hari,” kata pegawai INEA.