Sembilan Pemanah Tradisional Wakili Sabah Sertai Kejuaraan Memanah Semutar Di Kelantan

Sembilan Pemanah Tradisional Wakili Sabah Sertai Kejuaraan Memanah Semutar Di Kelantan

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Seramai sembilan orang atlet pemanah tradisional dari Sabah terdiri daripada enam wakil dari Kelab Memanah Kesatria Kota Kinabalu (KESATRIA) dan tiga wakil dari Kelab Memanah Tradisional Pelakat Skim Sipitang (TAPS) menyertai Kejuaraan Memanah Semutar Kebangsaan di Pantai Senok, Bachok, Kelantan.

Kejuaraan terbabit merupakan salah satu pengisian aktiviti sempena Festival Seni Semutar Kelantan 2022 yang telah bermula pada 13 Mei lepas dan berakhir semalam.

Presiden Persatuan Memanah Tradisional Kota Kinabalu ( PMTKK ), Md Suhaimi Sapiee berkata antara kelainan dalam acara pertandingan memanah kali ini adalah pemanah dikehendaki memanah sambil berlari dan menamatkan panahan dalam tempoh 20 saat bagi setiap acara yang dipertandingkan.

“Bagi acara pertama adalah pertandingan memanah pantas statik pada jarak 18 meter, kemudian acara memanah berlari sejauh 50 meter dengan tiga sasaran dan seterusnya memanah berlari sejauh 50 meter dengan enam sasaran sambil diiringi paluan rebana ubi.

“Pada hari kedua, empat acara memanah santai telah disediakan selepas pertandingan akhir dilaksanakan. Acara pertama adalah memanah statik pada jarak 30 meter dengan enam anak panah dalam dua pusingan, manakala acara kedua adalah memanah statik 30 meter dengan tiga anak panah pada sasaran selipar kecil yang disediakan.

“Acara ketiga adalah cabaran memanah duduk tepat pada tengah sasaran 40 sentimeter dengan tiga anak panah di jarak 30 meter dan acara terakhir adalah cabaran memanah tepat satu anak panah pada jarak rahsia (jarak yang ditentukan penganjur secara rawak),” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Wakil Sabah dari KESATRIA, Haidy Othman telah menjadi juara dalam dua dari empat acara tersebut iaitu acara 30 meter sasaran FITA 40 sentimeter dan acara memanah duduk 30 meter sasaran tepat di tengah.

Manakala acara memanah tepat 40 meter sasaran selipar kecil telah dimenangi oleh Suhaimi disamping seorang lagi ahli KESATRIA, Matlan@Abd Rahim Thaufeck berjaya ke peringkat akhir 10 terbaik dalam acara memanah berlari 50 meter dengan enam sasaran dalam masa 20 saat.

Suhaimi turut menyatakan harapan pihaknya agar kejayaan yang diperolehi oleh semua wakil pemanah tradisional negeri Sabah ini menjadi pemulaan kepada kejayaan yang lebih besar lagi untuk Sabah pada masa akan datang.

“Sekurang-kurangnya ia mampu memberi semangat dan motivasi buat semua pemanah tradisional Sabah.

“Saya juga ingin menyatakan penghargaan istimewa kepada semua penaja yang menyumbang untuk wakil atlet pemanah tradisional Sabah untuk menyertai kejuaraan ini,” katanya.

Kejuaraan Memanah Semutar Kebangsaan telah disertai seramai sekitar 150 orang pemanah tradisional dari pelbagai negeri di seluruh Malaysia.