
KUALA LUMPUR – Belanjawan 2023 merupakan langkah pertama yang menelusuri kerangka pembangunan Malaysia Madani, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Memetik sumber Berita Harian, Perdana Menteri berkata, pembentangan belanjawan itu merangkumi penumpuan kepada 12 ikhtiar utama berlandaskan tiga tekad, iaitu pemacuan ekonomi yang terangkum dan mampan, reformasi institusi dan tatakelola bagi memulihkan keyakinan, serta keadilan sosial untuk menyederhana kesenjangan.
Ikhtiar digariskan itu pula meliputi kemampanan fiskal, memenuhi keperluan ekonomi rakyat, mendepani musibah bencana, meraih pelaburan berimpak tinggi, pembaharuan sektor awam dan memperkasa kerjasama awam-swasta.
Selain itu, mengutamakan agenda digital, memperkukuh peranan agensi dan syarikat kerajaan, menoktahkan miskin tegar, meminimumkan beban sara hidup, menjamin keharmonian dan perpaduan, serta menyediakan keperluan asas berkualiti.
Anwar menegaskan, semua pihak harus mengaku bahawa amalan pembaziran dan rasuah mesti ditinggalkan.