Hakim Tidak Kebal Dari Siasatan, Namun Memerlukan Niat Baik – Ketua Hakim

Hakim Tidak Kebal Dari Siasatan, Namun Memerlukan Niat Baik – Ketua Hakim

0
SHARE

PUTRAJAYA – Hakim tidak mempunyai kekebalan daripada disiasat dan boleh didakwa mengikut peruntukan undang-undang, Mahkamah Persekutuan memutuskan hari ini.

Walau bagaimanapun, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel tujuh Hakim Mahkamah Persekutuan dalam penghakimannya berkata, ianya mesti dilakukan mengikut protokol tertentu bagi memelihara kebebasan Badan Kehakiman.

“Meskipun badan siasatan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhak menjalankan siasatan dan pendakwa raya mempunyai kuasa memulakan prosiding jenayah terhadap hakim mahkamah atasan, ia mesti dilaksanakan dengan niat baik dan hanya dalam kes sebenar.

“Badan siasatan mesti terlebih dahulu berunding dengan ketua hakim negara sebelum memulakan siasatan terhadap hakim berkenaan.

“Badan siasatan tidak boleh menghebahkan fakta siasatan tanpa kebenaran ketua hakim negara dan pendakwa raya mesti berunding dengan ketua hakim negara ketika siasatan termasuk dalam keputusannya untuk melakukan pendakwaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam penghakiman melalui permohonan dua peguam dan seorang aktivis untuk merujuk dua persoalan perlembagaan berkaitan siasatan SPRM terhadap Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang kini Hakim Mahkamah Rayuan.

Tengku Maimun berkata, ketua hakim negara tidak dimaklumkan berhubung perkara itu, sekali gus menunjukkan tiada niat baik dalam siasatan terbabit.

Kes saman pemula berkenaan kemudian diperintahkan kembali ke Mahkamah Tinggi untuk diputuskan berdasarkan persoalan perlembagaan yang dijawab Mahkamah Persekutuan.

Mohd Nazlan ialah hakim yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Beliau pada ketika itu hakim Mahkamah Tinggi yang mendapati bekas perdana menteri bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan dana RM42 juta milik syarikat pelaburan strategik negara, SRC International Sdn Bhd.