Seruan ‘Angkat Senjata Politik’ Hanya Retorik Perikatan Nasional – Nizam

Seruan ‘Angkat Senjata Politik’ Hanya Retorik Perikatan Nasional – Nizam

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menyifatkan seruan “angkat senjata politik” yang dilaungkan Bersatu sebagai retorik kosong Perikatan Nasional (PN) yang hanya mencerminkan budaya politik konfrontasi.

Menurut beliau, kenyataan Naib Presiden Bersatu merangkap pemimpin Bersatu Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee, yang mendakwa kerajaan negeri kononnya menghidap “penyakit lima serangkai” tidak lebih sekadar retorik berapi-api tanpa sebarang penyelesaian untuk rakyat.

“GRS tidak menafikan Sabah berdepan cabaran besar seperti isu air, elektrik dan pembangunan tanah. Namun kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor telah melaksanakan pelan nyata melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), yang menekankan pembangunan infrastruktur asas, peluang pekerjaan dan peningkatan hasil negeri.

“Cabaran ini adalah legasi berpuluh tahun dan tidak akan selesai dengan retorik semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Nizam turut menegaskan, pengakuan Ronald dalam Perhimpunan Agung Bersatu bahawa kemenangan di Sabah hanya “permulaan jalan kemenangan PN di Semenanjung” membuktikan negeri ini bukan matlamat perjuangan mereka, sebaliknya sekadar batu loncatan kuasa.

Beliau menambah, Presiden Bersatu sendiri ketika menjadi Perdana Menteri gagal menunaikan isu-isu besar rakyat Sabah termasuk pelaksanaan penuh hak MA63, penyediaan kemudahan asas dan peluang pekerjaan.

“Selepas hilang kuasa, mereka kembali dengan janji baharu, sedangkan peluang terdahulu sudah disia-siakan,” ujarnya.

Menurut Nizam lagi, PN sendiri tidak stabil apabila teguran terbuka daripada PAS menunjukkan Bersatu kerap membuat keputusan tanpa konsensus.

“Penganalisis politik juga menyebut PN masih ‘mencari pusat graviti.’ Bagaimana mahu menjanjikan kestabilan untuk Sabah sedangkan dalam PN sendiri wujud keretakan?” soalnya.

Nizam menegaskan kerajaan negeri hari ini telah mendapat sokongan penuh daripada Kerajaan Persekutuan melalui peruntukan pembangunan, projek infrastruktur serta komitmen pelaksanaan MA63.

“Kenyataan bahawa Sabah hanya akan dibantu apabila Bersatu kembali berkuasa adalah tidak berasas. Itu hanyalah retorik untuk menutup kegagalan mereka ketika diberi peluang dahulu,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan pendirian Ronald Kiandee yang pernah mendesak menjadi calon GRS pada PRU15, namun gagal selepas melanggar konsensus bersama Barisan Nasional.

“Apakah kerana gagal menjadi calon GRS, Ronald kini berdendam dengan kepimpinan GRS?” soalnya lagi.

Beliau dalam pada itu menegaskan rakyat Sabah kini cukup matang untuk menilai siapa yang benar-benar bekerja untuk mereka dan siapa yang hanya mahu menggunakan Sabah sebagai batu loncatan ke Putrajaya.

“GRS akan terus kekal fokus membawa kestabilan, konsistensi dan pembangunan untuk rakyat Sabah,” tegasnya.