BONGAWAN: Pengundi di kawasan ini digesa menilai dengan lebih tegas rekod Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal, sebelum mempertaruhkan masa depan Bongawan kepada calon parti itu, Dr. Daud Yusuf, pada PRU17 nanti.
Ketua Pemuda Parti Cinta Sabah (PCS) Sabah, Zakaria Ibrahim, berkata kegagalan Shafie menunaikan janji melantik Dr. Daud sebagai Menteri Pertanian Sabah ketika mentadbir negeri adalah bukti jelas bahawa Bongawan tidak pernah menjadi keutamaan kerajaan Warisan.
Beliau mendedahkan bahawa jawatan strategik itu akhirnya diberikan kepada wakil rakyat Tanjung Aru, Junz Wong, yang menurutnya tidak memiliki asas dalam bidang pertanian atau penternakan, sekali gus mengetepikan kepakaran Dr. Daud yang merupakan doktor veterinar dengan kelulusan dalam bidang berkaitan.
“Dr. Daud hanya diberi jawatan Pembantu Menteri tanpa kuasa eksekutif. Ini bukan sahaja menghina kepakaran beliau, malah menafikan hak rakyat Bongawan yang bergantung kepada sektor pertanian untuk pembangunan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Zakaria menegaskan bahawa tindakan Shafie memungkiri janji itu menyebabkan rasa kecewa mendalam dalam kalangan penyokong Warisan di Bongawan, yang melihat perkara tersebut sebagai pengkhianatan terhadap wakil rakyat dan komuniti tempatan.
Beliau menambah bahawa pola pembangunan perlahan terus berulang sepanjang dua penggal Dr. Daud menjadi wakil rakyat, tanpa projek strategik atau lonjakan ekonomi seperti dijanjikan.
“Jika selama dua penggal prestasi begini, bagaimana masa depan Bongawan jika beliau diberi peluang sekali lagi?” soalnya.
Zakaria menegaskan bahawa pengundi Bongawan tidak boleh lagi mengambil risiko memilih calon yang tidak diberi kepercayaan oleh ketua parti sendiri. Warisan pula didakwanya menganggap Bongawan sebagai kerusi ‘selamat’, justeru rakyat perlu memberi pengajaran pada PRU17 ini.
Sebaliknya, beliau menyeru pengundi memilih pemimpin tegas seperti calon GRS, Tan Sri Anifah Aman, yang menurut Zakaria telah membuktikan keberanian dan ketegasannya memperjuangkan hak Sabah, termasuk ketika beliau sanggup melawan arus dalam isu MA63 walaupun berisiko menerima surat tunjuk sebab daripada UMNO.
“Tindakan berani itu akhirnya menyebabkan beliau keluar UMNO dan menubuhkan parti sendiri. Inilah pemimpin yang tidak tunduk kepada sesiapa demi rakyat,” katanya.
Zakaria memberi amaran bahawa mengulangi kesilapan lalu hanya akan memerangkap Bongawan dalam ekonomi perlahan dan pembangunan yang terbantut.
“Ini bukan masa untuk bereksperimen. Ini masa untuk menyelamatkan Bongawan daripada terus dipinggirkan dengan memilih calon GRS, Tan Sri Anifah sebagai wakil rakyat,” katanya.






