KUALA LUMPUR: Setiausaha Politik kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Chow Kim Huan, membidas Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kerana lebih mementingkan cita-cita politik dan kuasa, namun mengabaikan krisis sampah yang berlarutan di Semporna.
Beliau berkata, masalah pengurusan sampah di Semporna sudah lama tidak diperbaiki, malah ketika Shafie menjawat jawatan Ketua Menteri Sabah, daerah itu tetap digambarkan sebagai antara “bandar pelancongan paling kotor”.
Jalan-jalan utama dipenuhi timbunan sampah dan bau busuk, sekali gus menjejaskan kualiti hidup penduduk tempatan serta mencemarkan imej Semporna sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.
“Sebagai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Semporna, Shafie sepatutnya paling memahami keadaan sebenar di kawasan sendiri, namun beliau dilihat mengabaikan isu rakyat dan lebih sibuk berbicara soal perebutan kuasa dan perubahan kerajaan,” katanya.
Chow turut menambah, menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah, Shafie sering bercakap tentang pelan tindakan dan visi pentadbiran, tetapi gagal menyelesaikan isu asas seperti pengurusan sampah dan kebersihan awam yang menunjukkan sikap tidak peduli serta kegagalan beliau terhadap keperluan rakyat.
Menurutnya lagi, sistem pengurusan sampah dan sisa pepejal di Sabah berbeza dengan di Semenanjung kerana negeri itu tidak tertakluk di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672) serta tidak dikendalikan oleh agensi persekutuan seperti Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) atau SWCorp.
“Di Semenanjung, pengurusan sisa dilaksanakan di bawah kerajaan persekutuan melalui kontraktor swasta seperti Alam Flora, Indah Water dan E-Idaman. Namun di Sabah, urusan kebersihan dan sisa pepejal adalah tanggungjawab kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” jelasnya.
“Sebagai contoh, di Semporna, pengutipan dan pembuangan sampah dikendalikan oleh Majlis Daerah Semporna, manakala dasar dan pelaksanaannya diselia oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.
“Ini bermakna wakil rakyat seperti Shafie sepatutnya memainkan peranan aktif untuk menyelaras dan memantau kerja-kerja pihak tempatan agar sistem pengurusan sampah berfungsi dengan baik, bukannya hanya mengkritik atau melepaskan tanggungjawab selepas berlaku masalah,” katanya lagi.
Chow menegaskan bahawa tanggungjawab seorang ahli politik ialah menyelesaikan masalah rakyat seharian, bukan sekadar tenggelam dalam perebutan kuasa.
Isu sampah di Semporna bukan perkara baharu, tetapi berpunca daripada kelemahan pentadbiran tempatan dan sikap sambil lewa politik selama bertahun-tahun.
“Kalau Shafie sendiri gagal memastikan kebersihan asas di daerahnya, bagaimana beliau mahu mentadbir seluruh Sabah?” tegasnya.
Beliau turut menyeru semua wakil rakyat agar mencontohi pendekatan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), khususnya dalam aspek kebersihan awam dan pengurusan sisa, dengan bertindak secara nyata bagi memastikan rakyat menikmati persekitaran yang bersih dan selesa untuk didiami.