PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerima peruntukan tertinggi dalam sejarahnya berjumlah RM1.015 bilion di bawah Belanjawan MADANI 2026, bagi memperkasa sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta gerakan koperasi di seluruh negara, termasuk tumpuan khusus kepada usahawan B40, wanita dan Sabah-Sarawak.
KUSKOP dalam satu kenyataan berkata, peruntukan itu menunjukkan peningkatan sebanyak RM200.3 juta atau 24.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Ini menggambarkan komitmen Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan negara yang inklusif dan mampan,” jelas kenyataan itu di sini hari ini.
Tambah KUSKOP lagi, Belanjawan 2026 bertemakan “Belanjawan Rakyat” memberi fokus kepada semua kategori usahawan termasuk koperasi, perusahaan sosial, usahawan francais, penjaja dan peniaga kecil, dengan pendekatan menyeluruh yang menitikberatkan pembangunan wilayah termasuk di Sabah dan Sarawak.
“Antara insentif utama di bawah KUSKOP termasuk RM20 juta bagi pembangunan tapak Tamu Desa di Sabah dan Sarawak, RM100 juta pembiayaan halal oleh SME Bank, serta lebih RM2.5 bilion pinjaman mikro oleh TEKUN Nasional dan BSN.
“Selain itu, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) diperuntukkan RM50 juta sebagai dana pembiayaan koperasi, manakala Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menerima RM230 juta bagi membantu lebih 300,000 usahawan kecil,” tambahnya.
KUSKOP turut memperkukuh penyertaan wanita dalam bidang keusahawanan melalui RM270 juta pembiayaan bersama Bank Rakyat, SME Bank, BSN dan MARA, serta memperkasa usahawan muda melalui Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) dengan peruntukan RM12 juta.
Kementerian juga menegaskan bahawa pelaksanaan dan pemantauan program akan ditambah baik melalui Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, bagi memastikan setiap inisiatif mencapai sasaran dengan berkesan.
KUSKOP yakin Belanjawan 2026 akan menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan sosioekonomi negara dengan memastikan sektor PMKS dan koperasi terus menjadi penyumbang utama kepada kemakmuran ekonomi Malaysia yang inklusif dan berdaya tahan.






