Dua Cedera, Kereta Dinaiki Terbabas Sendiri di Jalan Kimanis-Keningau

Dua Cedera, Kereta Dinaiki Terbabas Sendiri di Jalan Kimanis-Keningau

0
SHARE

KIMANIS: Dua lelaki cedera selepas kenderaan jenis Isuzu D-Max Single Cab yang dinaiki mereka terbabas sendiri di bahu Jalan Kimanis-Keningau, lewat malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 11.42 malam.

Susulan itu, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 27 kilometer.

Menurut Komander Operasi, PBK I Nazir Chek Lah, pasukan tiba di lokasi pada jam 12.07 tengah malam dan mendapati sebuah kenderaan pacuan empat roda terbabas sendiri di bahu jalan.

“Seorang mangsa telah keluar sendiri dari kenderaan, manakala seorang lagi lelaki di bahagian pemandu tersepit dan berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas,” katanya.

Kedua-dua mangsa yang berusia 42 dan 26 tahun masing-masing mengalami kecederaan di bahagian tangan kanan dan kaki serta kepala, sebelum diberikan rawatan awal di lokasi dan diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dibawa ke hospital bagi rawatan lanjut.

Operasi yang turut melibatkan tiga anggota KKM dan dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu tamat sepenuhnya pada jam 1.11 pagi.

JBPM Sabah menegaskan pihaknya akan terus komited dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan menyeru orang ramai agar memandu dengan berhati-hati, khususnya pada waktu malam dan di jalan berselekoh.