KUALA LUMPUR – Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai jawatan sebagai Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan hari ini.
Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keputusan dan pendirian UMNO.
“Pertama saya merakamkan ucapan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri kerana saya diberikan peluang berkhidmat sebagai Menteri Tenaga Dan Sumber Asli dan pastinya pimpinan UMNO yang mencadangkan saya sebagai Menteri Kerajaan Persekutuan…
“Mengambil kira beberapa keputusan dan pendirian parti. Maka, sebagai ahli UMNO yang patuh dan setia kepada parti. Saya dengan ini meletak jawatan sebagai Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada masa yang sama, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak dan kepada semua warga Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.
“Tumpuan saya selepas ini ialah memberikan fokus kepada tugas sebagai Ahli Parlimen Lenggong dan membantu memperkuat parti dalam menghadapi situasi politik yang semakin mencabar,” tambah beliau lagi.