SPRM Tahan Seorang Anggota Polis Terima Rasuah RM3,500

SPRM Tahan Seorang Anggota Polis Terima Rasuah RM3,500

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

KOTA KINABALU, SABAH – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah telah menahan seorang anggota polis lelaki berpangkat Lans Koperal yang bertugas di sebuah daerah di Sabah kerana dipercayai meminta dan menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM3,500, hari ini.

Menurut sumber, wang berkenaan diminta daripada seorang warga Pakistan sebagai balasan untuk memulangkan semula barangan-barangan yang ditahan berupa sebuah motosikal, buku hutang dan passport milik warga Pakistan tersebut.

Suspek yang berusia dalam lingkungan 20an itu ditahan di sebuah daerah di negeri ini kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Turut dirampas ialah wang tunai berjumlah kira-kira RM3,500 yang dipercayai diterima secara rasuah.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan suspek disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Menurutnya, suspek ditahan selama 24 jam untuk siasatan lanjut.