Oleh: Mirlen Axtius
KOTA KINABALU: Lima remaja yang dihadapkan ke Mahkamah Kanak-Kanak di sini hari ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, memaklumkan bahawa kesemua tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan deposit RM1,000 serta seorang penjamin.
“Tidak ada pengakuan salah. Mahkamah menetapkan 25 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes. Setiap tertuduh dikenakan jaminan RM5,000 bersama RM1,000 deposit dan seorang penjamin,” katanya ketika ditemui media di luar mahkamah, hari ini.
Mengikut kertas pertuduhan, kelima-lima remaja terbabit didakwa mencapai niat bersama dengan menggunakan perkataan mencela terhadap mangsa di sebuah sekolah di Papar, antara jam 10 hingga 11 malam pada 15 Julai 2025.
Mahkamah turut menetapkan Pengurusan Kes Pra-Perbicaraan (PTCM) pertama pada 25 September 2025 jam 9 pagi, manakala PTCM kedua pada 16 Oktober 2025 jam 9 pagi, kedua-duanya di mahkamah terbuka.
Sementara itu, perbicaraan penuh akan berlangsung dalam dua sesi iaitu pada 8 hingga 12 Disember 2025 serta 15 hingga 19 Disember 2025, jam 9 pagi, di Mahkamah Sesyen 2.
Pada sesi PTCM, semua dokumen berkaitan akan diserahkan kepada pihak mahkamah.






