KOTA KINABALU, SABAH – Bank Kerjasama Rakyat (Bank Rakyat) Cawangan Ranau yang memulakan operasi sejak 6 Jun lalu, akan dirasmikan November ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Perniagaan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata cawangan ke-14 di Sabah itu diharap dapat meningkatkan lagi pendapatan bank berkenaan.
“Di Sabah ada 14 cawangan termasuk Cawangan Ranau yang baharu beroperasi dan akan dirasmikan pada November nanti.
“Apabila kita buka lebih cawangan, nanti akan ada lebih banyak perniagaan yang dilaksanakan lebih keuntungan dan kita jangkakan peningkatan dari segi keuntungan dan seterusnya zakat kepada Negeri Sabah,” ujarnya kepada media di Istana Seri Kinabalu.
Pada majlis berkenaan, Ahmad Shahril menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM 914,400.00 bagi tahun 2022 kepada Yang Dipertua Majlis Ugama Islam (MUIS), Datuk Seri Panglima Yahya Hussin dan disaksikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif yang juga Exco Hal Ehwal Agama, Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ruslan Muharam dan Timbalan Yang Dipertua MUIS, Datuk Malai Ahmad Malai Ali.
Mengulas mengenai jumlah zakat bank koperasi Islam terbesar di Malaysia tersebut, Ahmad Shahril memaklumkan walaupun terdapat sedikit penurunan, pihaknya komited untuk terus menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan di Sabah.
“Kalau kita lihat dari segi jumlah, ada sedikit penurunan sebab kita berdasarkan prinsip setiap keuntungan yang dibuat di setiap negeri sumbangan zakat akan disumbangkan kembali kepada negeri tersebut.
“Pada tahun 2022, keuntungan bersih terjejas berikutan peningkatan kos di Sabah yang berkaitan dengan perancangan kita untuk terus berkembang di Sabah contohnya kita baru membuka cawangan di Ranau.
“Kita akan terus luaskan operasi di Sabah ini dan setiap perancangan itu akan membawa lebihan profit pada masa akan datang,” jelas beliau. — JABATAN PENERANGAN SABAH