Srikandi Bersatu Tetap Pertahankan Kerusi Beaufort, Lahirkan Lebih Ramai Pemimpin Wanita

Srikandi Bersatu Tetap Pertahankan Kerusi Beaufort, Lahirkan Lebih Ramai Pemimpin Wanita

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Srikandi Parti Pribumi Bersatu Sabah (BERSATU) mahukan lebih ramai wanita Sabah di Parlimen selain terus memperjuangkan kerusi Beaufort.

Ketua sayap wanita itu, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, sekiranya beliau tidak lagi akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti, kerusi berkenaan tetap akan dipertahankan oleg calon wanita BERSATU.

“Kalau orang lain bertanding pun tidak bererti saya lari dari mempertahankan kerusi itu…

“Dalam politik ada masanya kita kena berjuang,ada masanya kita bagi laluan kepada orang lain juga, apa pun itu kita serahkan kepada pucuk pimpinan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Srikandi Sabah kedua bagi tahun ini di Sabah International Convention Centre kelmarin.

Dalam perkembangan lain, Azizah berkata Srikandi Sabah telah mengemukakan nama empat (4) orang calon kepada pucuk pimpinan bagi kerusi di bahagian utara, pedalaman dan Pantai Timur negeri ini. Salah satu daripadanya ialah Lahad Datu.

Katanya, calon-calon demikian masing-masing berpotensi dan mempunyai pendedahan politik selain pengalaman pemasyarkatan setempat.

“Peranan wanita dalam politik negara tidak sepatutnya dipandang rendah malah harus diambil dengan pandangan serius. Hampir 50 peratus penduduk dan pengundi negara adalah daripada kaum wanita,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Beaufort itu berkata jika 30 peratus perwakilan kaum wanita di Parlimen belum dapat dicapai, empat kerusi berkenaan sudah menjadi kejayaan bagi Srikandi dan kaum wanita khususnya di Sabah.

“Tapi kalau boleh dapat lebih lagi lagi baik, mana kita tahu,” katanya.

Katanya lagi, antara asas perjuangan Srikandi ialah untuk membasmi kemiskinan bertumpukan kaum wanita.

“Satu perkara menghimpit wanita kaum wanita, khususnya di daerah yang digelar miskin adalah perkahwinan pada usia muda…

“Ia dengan harapan selepas dikahwinkan, keluarga dapat keluar dari kepompong kemiskinan namun sebaliknya ramai daripada mereka menjadi ibu tunggal setelah ditinggalkan sang suami. 

“Oleh itu mereka terpaksa berhadapan kitaran kemiskinan yang berterusan,” katanya.

Azizah berkata mengikut data seluruh negara, rata-rata ketua isi rumah yang terdiri daripada kalangan wanita sedang dihimpit kemiskinan lebih-lebih lagi selepas pandemik.

“Srikandi akan memfokuskan strategi sesuai untuk membantu memperkasakan mereka dari sudut ekonomi dan pendidikan dengan bantuan Ketua Menteri Sabah selain agensi berkenaan dan kapasiti saya sebagai pengerusi MARA,” katanya.

Beliau mengingatkan bahawa Srikandi, atau mana-mana sayap wanita dalam parti politik bukan hanyalah setakat itu ataupun “pelengkap parti” sahaja, tetapi rakan sejawat yang harus diberikan perhatian serius kerana memainkan peranan besar dalam organisasi dan pentadbiran negara.

Sabah mempunyai lima (5) orang ahli parlimen wanita iaitu Noorita Sual, Tenom, Datuk Christina Liew, Tawau, Isnaraissah Munirah Majilis, Kota Belud, Vivian Wong Shir Yee, Sandakan dan Datuk Seri Azizah Dun sendiri bagi Beaufort.