KOTA KINABALU, SABAH – Lembaga Pelancongan Sabah (STB) beralih ke tahap yang lebih tinggi dengan kembali ke MATTA Fair tahun ini sebagai Destinasi Kegemaran Malaysia.
Pameran pesta pelancongan selama dua hari itu akan disertai oleh Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor pada 20 November (Sabtu hadapan) di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur.
Dua puluh (20) syarikat pelancongan, pusat peranginan dan pengendali aktiviti menyelam akan mengambil bahagian untuk mempromosikan Sabah sebagai destinasi percutian pilihan. Kebanyakan peserta mewakili persatuan pelancongan dari Sandakan.
Menteri Muda Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri merangkap pengerusi STB, Datuk Joniston Bangkuai berkata, usaha MATTA untuk menganjurkan pameran pelancongan fizikal selepas berehat panjang kerana wabak COVID-19 itu adalah satu rahmat bagi sektor pelancongan Sabah.
“Kami amat berbesar hati kerana Sabah dipilih oleh MATTA sebagai Destinasi Kegemaran Malaysia. Pada bulan November, kita sudah mempunyai 56 penerbangan mingguan dari MAS dan 98 penerbangan mingguan dari Air Asia, yang semuanya penuh.
“Ini menunjukkan orang ramai kini yakin untuk mengembara. Hotel dan pusat tarikan kita juga sedia menerima pelawat terutamanya daripada negeri luar.
“Kehadiran Ketua Menteri juga penting kerana ia menunjukkan komitmen kerajaan negeri untuk melihat pemulihan cepat industri pelancongan kita, yang merupakan salah satu fokus utama kita,” kata Joniston.
Beliau berkata demikian pada sidang media maya mengenai Pameran MATTA 2021, hari ini. Turut hadir Presiden MATTA Datuk Tan Kok Liang.
Joniston juga menyatakan bahawa pelancaran kempen #MansauSabahBoostku baru-baru ini mendapat sambutan yang menggalakkan, dengan semua baucar yang ada ditebus sepenuhnya dalam masa kurang daripada 15 jam.
Dengan kerjasama salah satu penyedia perkhidmatan E-dompet Malaysia, Boost, kempen itu berhasrat untuk menggiatkan semula sektor pelancongan Sabah dan industri berkaitan.
“Tindak balas jenis ini menunjukkan ramai rakyat Malaysia tidak sabar untuk menerokai halaman belakang rumah kita…
“Saya berharap pengguna yang telah berjaya menebus baucar tersebut menggunakan sepenuhnya inisiatif itu untuk mendapatkan lebih nilai untuk wang mereka, selain tawaran tersedia pada pakej Sabah sepanjang tempoh MATTA Fair,” tambahnya.
STB akan menubuhkan pavilion di Dewan 4 dengan 12 gerai menjadikan pavilion negeri yang terbesar selama dua hari itu.
Joniston menggalakkan rakyat Malaysia memanfaatkan MATTA Fair untuk merancang percutian ke Sabah dan mengalamai semua tarikan yang ditawarkan negeri ini.
Sementara itu, Tan berkata ini merupakan kali ketiga Sabah menyertai Pameran MATTA tahunan, sambil menambah beliau percaya promosi pelancongan untuk Sabah akan menjadi popular sepanjang pameran itu.
“MATTA menyasarkan untuk menerima 20,000 pengunjung ke pameran itu dan menjana RM25 juta dalam penjualan domestik…
“Kami gembira kerana 80 peratus gerai telah dibuka, dan kami berharap rakyat Malaysia akan mengambil peluang ini untuk menerokai pakej pelancongan yang ditawarkan oleh negeri lain juga,” katanya.





