Suspek Curi Kabel Dicekup Selepas Kejar-Mengejar di Penampang

Suspek Curi Kabel Dicekup Selepas Kejar-Mengejar di Penampang

0
SHARE

PENAMPANG: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang disyaki terlibat dalam kes curi kabel serta melarikan diri daripada pemeriksaan polis dalam kejadian di sekitar Donggongon, petang Rabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Erwansyah Abdul Basir berkata, tangkapan dibuat hasil maklumat orang awam oleh Unit Peronda Polis (MPV) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK).

“Pihak polis mengesan sebuah kenderaan mencurigakan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan curi kabel sebelum suspek bertindak melarikan diri, menyebabkan kejar-mengejar dari kawasan Kobusak ke Bundusan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, kenderaan yang dipandu suspek terbabas dan merempuh sebuah premis perniagaan di Jalan Yue Min sebelum suspek melarikan diri secara berjalan kaki, namun berjaya diberkas tidak lama kemudian.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan suspek, polis merampas segulung kabel wayar tembaga, sebuah bateri kenderaan serta kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah,” katanya.

Tambahnya, semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau kesalahan dadah dan ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini atau kes jenayah lain diminta menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.