KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan tentang kejadian tanah runtuh pada jam 4.32 pagi yang berlaku di Kampung Lok Bonu, Jalan Sepanggar
10 anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu telah bergegas ke lokasi kejadian bersama jentera FRT dan kenderaan Unit EMRS sebaik dihubungi.
Menurut Komander Operasi, PBK II KUP Musa bin Kunjan, berlaku hakisan tanah dan menyebabkan sebuah rumah tertimbus.
“Kediaman tersebut adalah jenis tidak kekal dengan keluasan 10×15 kaki telah mengalami kerosakan 100%.
“Terdapat dua orang mangsa yang terlibat dalam kejadian itu yang mana salah seorang mangsa wanita, 53 tahun yang tertimbus berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.
“Namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan KKM selepas pemeriksaan dilakukan sebelum mayat mangsa diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Manakala seorang lagi mangsa lelaki iaitu anaknya, 25 tahun terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Setelah memastikan tiada lagi bahaya lain yang wujud, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.00 pagi.






