TH Kekal Komited Bantu, Teruskan Bantuan Kewangan Haji Secara Bersasar Tahun Hadapan

TH Kekal Komited Bantu, Teruskan Bantuan Kewangan Haji Secara Bersasar Tahun Hadapan

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Tabung Haji (TH) akan meneruskan bantuan kewangan haji secara bersasar pada tahun hadapan bagi memastikan ia dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan yang memerlukan.

TH dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan menyatakan inisiatif terbabitn akan diteruskan pihaknya walaupun kos haji Muasassah dijangka terus meningkat sekitar RM31,000 seorang pada tahun hadapan, berbanding RM28,632 tahun ini.

Disamping itu, TH juga menyatakan pihaknya juga kekal komited untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada semua jemaah haji Malaysia pada setiap musim Haji.

Sementara itu dalam kenyataan media sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata pihaknya sentiasa memantau dan bekerjasama dengan TH bagi sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik dengan kos yang berpatutan untuk jemaah haji Malaysia.

“Meskipun operasi haji pada musim ini berbeza dari tahun sebelumnya, TH telah berjaya mengurus perjalanan haji untuk kesemua jemaah haji dengan baik…

“Tahun ini, saya sempat meninjau persediaan haji TH di Kompleks Haji Sepang dan kemudian melihat sendiri bagaimana petugas TH mengurus serta menyantuni jemaah haji yang mempunyai pelbagai kerenah ketika di tanah suci, terutama ketika Masya’ir.

“Saya kagum dengan komitmen dan kerja keras yang ditunjukkan, justeru syabas dan terima kasih saya ucapkan kepada semua petugas yang telah menabur khidmat bakti sepanjang operasi haji sama ada di tanah air atau di Tanah Suci,” katanya.

Sementara itu, TH memaklumkan kejayaan operasi haji musim ini adalah hasil sokongan penuh diberikan pelbagai pihak terutama agensi kerajaan dan swasta.

“TH sudah menerima sumbangan bernilai RM1.8 juta daripada 12 organisasi melalui program Sahabat Korporat TH yang turut membantu melancarkan urusan ibadah jemaah haji Malaysia…

“Sumbangan itu adalah dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan asas jemaah haji seperti beg beroda, beg sandang, tikar jemaah, sejadah, bahan bacaan seperti buku doa, peralatan kesihatan dan kelengkapan harian,” katanya.