Tiga Lagi Daerah Diisytiharkan Dengan Wabak ASF

Tiga Lagi Daerah Diisytiharkan Dengan Wabak ASF

0
SHARE
Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan...

KOTA KINABALU, SABAH – Papar menjadi daerah terbaru yang diisytiharkan sebagai daerah wabak Demam Babi Afrika (ASF) di Sabah setelah virus itu dikesan di Kampung Kogopon dan Kampung Purak pada 14 September lalu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, mengatakan bahawa virus ASF adalah penyebab kematian 91 babi piaraan pada kedua-dua kampung itu dalam tempoh dua minggu, yang mengakibatkan kerugian dianggarkan sekitar RM 50,000.

“Virus ini hanya menyerang babi piaraan dan bukan babi komersial dimana terdapat empat (4) ladang babi komersial utama di daerah ini…

“Ladang-ladang babi komersial ini menempatkan kira-kira 9.400 ekor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain Papar, dua daerah lain telah yang telah diisytiharkan dengan wabak ASF adalah Kota Kinabalu pada 30 September dan Tenom pada 13 Oktober.

Kitingan yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan mengatakan, seperti di Papar, virus di Kota Kinabalu dan Tenom hanya menyerang babi piaraan dan kes-kes tersebut dianggap terpencil.

“Buat masa ini, kementerian belum lagi mempertimbangkan untuk mematikan semua babi di daerah ini kerana kes-kes tersebut diasingkan dan babi di ladang babi komersial bebas ASF setelah beberapa ujian saringan. Oleh itu, kementerian yakin bekalan daging babi di pasar tempatan tidak akan terganggu,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada usahanya untuk membendung penyebaran virus, Kitingan mengatakan kementerian akan terus mengendalikan pergerakan produk babi dan daging babi antara daerah, memperkasakan kempen kesedaran di desa dan lokasi yang relevan, dan memantau kegiatan di ladang dan pusat penyembelihan di semua daerah yang terkesan.

Pada awal tahun ini, langkah-langkah pengawalan penyakit serupa dilaksanakan di 19 daerah lain, dan usaha itu ternyata berkesan apabila tujuh daerah diklasifikasikan semula dari ‘zon merah’ ke ‘zon kuning’ setelah tiada kes ASF baru dilaporkan dalam 60 hari terakhir.

Daerah-daerah ini adalah Pitas, Kota Marudu, Beluran, Telupid, Tongod, Kinabatangan dan Sandakan.

“Kementerian melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan terus memantau situasi ASF dalam negeri dan mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan sumber protein berasaskan babi di Sabah terus terjamin,” kata Kitingan.