JOHOR BAHRU, JOHOR – Kanak-kanak tidak dipaksa untuk menerima vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (PicKids), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurutnya, kerajaan tidak menghalang ibu-bapa jika enggan membenarkan anak-anak mereka divaksin walaupun peratusan golongan kanak-kanak divaksin masih rendah.
“Memang tidak ada paksaan untuk kanak-kanak divaksin. Malah, bagi dos penggalak juga tidak pernah ada paksaan…
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob…
“Tetapi, kita tahu program vaksinasi untuk kanak-kanak ini perkara baharu. Biasalah, bila sesuatu perkara baharu, orang ramai mungkin ada rasa takut dan bimbang.
“Sama seperti ketika pemberian vaksin dos pertama di peringkat awal dulu, ada yang takut hendak ambil, tetapi lama kelamaan orang mula berebut-rebut nak ambil,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan Karnival Usahawan dan Koperasi Malaysia di sini, semalam.
Ujar Ismail Sabri, walaupun orang ramai bimbang mendapatkan vaksin berikutan maklumat tidak sahih, penerimaan masyarakat dilihat semakin meningkat.
“Saya tidak salahkan rakyat sebab memang ada yang takut jika ada benda tidak baik berlaku pada anak mereka. Tidak mengapa, saya tekankan di sini, tiada paksaan.
“Walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) sudah memberi jaminan tidak ada isu atau kesan buruk daripada pengambilan vaksin ini, tetapi ia tetap terserah kepada rakyat,” jelasnya.