TUARAN: Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan, menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan projek pembangunan semula Sekolah Kebangsaan (SK) Gayang di Tuaran, Sabah, berjalan mengikut jadual dan menepati kualiti.
Projek itu dijangka sepenuhnya menjelang Mac 2026, bagi menyediakan akses pendidikan yang lebih moden dan selesa kepada generasi muda Sabah.
Lawatan ini merupakan lawatan rasmi keempat beliau ke Sabah tahun ini, dalam rangka meninjau pelaksanaan projek infrastruktur awam termasuk sekolah daif, dengan memberi tumpuan kepada aspek pengurusan projek, sumber manusia, kewangan dan bahan binaan agar semuanya kekal ‘on track’.
Projek pembinaan semula SK Gayang bernilai RM34 juta ini dilaksanakan melalui kaedah reka dan bina oleh Zirbad Resources Sdn. Bhd. sebagai kontraktor utama, dengan pemantauan rapi oleh Pasukan Projek Khas 2 (PPK2), JKR Malaysia sebagai agensi pelaksana.
Sekolah ini terletak di Kampung Gayang dan kini menampung 716 murid serta 42 guru dalam dua sesi persekolahan. Keadaan bangunan sedia ada yang uzur telah mendorong kepada pembangunan baharu yang lebih moden dan menyeluruh.
Projek ini merangkumi pembinaan blok pentadbiran, blok akademik, bangunan prasekolah, kuarters guru, kantin serta pelbagai kemudahan lain yang bakal menjadikan SK Gayang sebagai antara sekolah rendah moden luar bandar yang setaraf dengan sekolah-sekolah di bandar.
Apabila siap kelak, sekolah ini akan beroperasi dalam satu sesi persekolahan, menampung 540 murid dan 30 guru, sekali gus memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat dan menjadi pemangkin kecemerlangan akademik serta kokurikulum.
Projek ini bermula pada 3 Januari 2024 dan dijangka siap pada Mac 2026. Selari dengan aspirasi Kementerian Kerja Raya (KKR), semua projek infrastruktur rakyat disasarkan untuk disiapkan lebih awal daripada jadual (Ahead of Time) dengan mengekalkan rekod sifar kemalangan tapak binaan.
Beliau menjelaskan, pendekatan ini mencerminkan nilai Malaysia MADANI, khususnya ihsan, kesejahteraan, keyakinan dan kemampanan, dalam memastikan rakyat Sabah menerima manfaat secepat mungkin daripada pembangunan infrastruktur pendidikan.
“Pembangunan semula SK Gayang bukan sekadar projek fizikal, tetapi pelaburan jangka panjang untuk masa depan anak-anak Sabah. Kita mahu memastikan ia siap mengikut jadual, berkualiti tinggi, dan memberi impak besar kepada komuniti setempat,” katanya.