Tongod Diisytihar Bencana Sejak Semalam

Tongod Diisytihar Bencana Sejak Semalam

0
SHARE

TONGOD: Daerah Tongod telah diisytiharkan sebagai kawasan bencana berkuat kuasa semalam, susulan penilaian semasa Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tongod yang mendapati keadaan memerlukan tindakan segera dan penyelarasan rapi semua agensi terlibat.

Pengisytiharan tersebut dibuat oleh Pegawai Daerah Tongod, Yuesri Ismail Yusof, yang juga Pengerusi JPBD Tongod, pada jam 11.00 malam, Khamis (2 Oktober 2025).

Langkah itu diambil selepas Jawatankuasa Bencana Daerah mengemukakan pandangan dan cadangan agar status bencana diaktifkan bagi membolehkan pengurusan bantuan, operasi penyelamatan dan pemindahan penduduk dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun serta menyeluruh.

“Selaras dengan pandangan Jawatankuasa Bencana Daerah Tongod, saya selaku Pengerusi JPBD mengisytiharkan berlakunya bencana di daerah Tongod berkuat kuasa malam ini,” katanya dalam kenyataan rasmi.

Dengan pengisytiharan ini, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Tongod telah diaktifkan sepenuhnya bagi menyelaras tindakan agensi penyelamat, penyaluran bantuan logistik, pemindahan mangsa terjejas dan penyampaian maklumat kepada orang awam.

Pihak JPBD Tongod turut menasihatkan semua penduduk agar kekal berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa, dan mendapatkan maklumat terkini hanya melalui saluran rasmi bagi mengelak penyebaran maklumat tidak sahih.