KOTA KINABALU, SABAH – Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin menghadiri Majlis Tahlil Dan Bacaan Doa Selamat sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2024, semalam.
Majlis tersebut diadakan di Masjid Nurul Hikmah Bukit Padang dihadiri oleh lebih seribu jemaah dan dimulakan dengan bacaan Surah Yasin.
Kemudian, Mufti Sabah, Datuk Bungsu@Aziz Jaafar memimpin bacaan doa selamat selain menyampaikan Khutbah Jumaat bertajuk Menghargai Nikmat Kemerdekaan manakala Solat Jumaat diimamkan oleh Imam Masjid Negeri, Suhaidi Kuanting.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Ir Shahelmey Yahya, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Arifin Mohd Arif serta Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Roslan Muharram.
Hadir sama, Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Makhzan Mahyuddin dan PesuruhJaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun. — JABATAN PENERANGAN SABAH