Tun M Beri Alasan Kelemahan Struktur PPBM Punca AGM Tidak Dijalankan

Tun M Beri Alasan Kelemahan Struktur PPBM Punca AGM Tidak Dijalankan

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad memberi alasan, kelemahan struktur organisasi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) merangkumi cawangan dan bahagian sebagai punca parti itu tidak dapat mengadakan mesyuarat agung tahunannya (AGM).

Memetik kenyataan BH Online, Pengerusi PPBM itu berkata, walaupun mempunyai ahli mencukupi, AGM terpaksa juga ditangguhkan dengan struktur parti yang paling tidak tersusun adalah di peringkat cawangan, malah situasi sama juga ada di beberapa bahagian.

“Jadi, kita tidak dapat tentukan siapa akan hadir AGM,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat majlis presiden pakatan pembangkang di Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas tindakan kepemimpinan beberapa bahagian PPBM di Johor membuat laporan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung kegagalan parti itu mengadakan AGM di peringkat cawangan, bahagian mahupun pusat selepas setahun ditubuhkan.

Mengenai perkembangan pendaftaran nama Pakatan Harapan, Dr Mahathir berkata, pihaknya menunggu pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Ser Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri.

“Bagi melancarkan pendaftaran, pakatan pembangkang sedia mematuhi apa juga syarat yang ditetap ROS. Kita sedia ikut kehendak RoS, jika ada cadangan tidak sesuai atau bercanggah,” katanya.