KOTA KINABALU: Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Musa Aman menyeru semua pihak agar bermuhasabah serta memperbaharui tekad sempena kedatangan Tahun Baharu, sebagai landasan untuk melangkah ke hadapan dengan perancangan yang lebih baik dan bermakna.
Dalam Perutusan Tahun Baharu, Tun Musa berkata permulaan tahun baharu wajar dijadikan peluang untuk menilai pencapaian dan cabaran yang telah dilalui, di samping merangka azam demi kesejahteraan bersama.
Beliau turut menggesa Kerajaan Negeri supaya terus komited dalam usaha mencapai pembangunan sosioekonomi yang mampan dan inklusif, dengan memberi tumpuan kepada pemerkasaan infrastruktur, penyelesaian isu-isu berlarutan serta peningkatan kebajikan dan kualiti hidup rakyat Sabah.
Selain itu, Tun Musa menekankan kepentingan menarik pelaburan berkualiti dan mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi pertumbuhan ekonomi negeri.
Menurutnya, pembangunan sektor-sektor utama seperti perkilangan, pelancongan dan pertanian perlu terus diperkasakan bagi menyediakan peluang pekerjaan, mengukuhkan ekonomi serta menjamin kemakmuran jangka panjang Sabah.
Tun Musa turut menegaskan bahawa perpaduan merupakan kekuatan terbesar Sabah, dengan kepelbagaian agama dan etnik sebagai satu anugerah yang perlu dihargai dan dipelihara.
Sehubungan itu, beliau menyeru golongan yang lebih bernasib baik agar menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan, khususnya golongan rentan dan kurang berkemampuan.
Dalam perutusan sama, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada anggota pasukan keselamatan negara yang berkorban dan berjauhan daripada keluarga demi mempertahankan keselamatan serta kedaulatan negeri dan negara.
Tun Musa berharap Tahun Baharu membawa kemajuan, kemakmuran, keamanan dan keharmonian yang berterusan kepada Malaysia secara keseluruhan dan Sabah khususnya.
“Dengan usaha bersama, kebijaksanaan dan semangat perpaduan yang utuh, saya yakin kita mampu melangkah ke hadapan menuju masa depan yang lebih cerah,” katanya.
Beliau turut mengucapkan Selamat Tahun Baharu dan salam sejahtera kepada seluruh rakyat.






