Umat Islam Yang Meminggirkan Ajaran Akan Jatuh – Jahid

Umat Islam Yang Meminggirkan Ajaran Akan Jatuh – Jahid

0
SHARE
Jahid
Aziezul Rosundin dan Siti Farina Terah yang bakal mewakili Daerah Kecil Tamparuli, menerima hadiah daripada Jahid ( Sumber Foto: Ihsan pejabat ADUN Tamparuli )

TAMPARULI, SABAH – Umat Islam yang berpegang teguh dengan ajaran Islam seperti mana yang terkandung di dalam kitab suci, akan menjadi umat bertamadun, kuat dan bersatu padu serta hidup dalam suasana aman dan berkasih sayang.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, kitab suci yang diturunkan lebih 1,400 tahun dahulu mampu membimbing manusia dalam setiap zaman untuk mencapai kemajuan dan kejayaan hidup dan akhirat.

“Sebaliknya jika mereka mengabaikannya, maka mereka akan terjebak ke dalam yang memundur dan merosakkan ummah seperti perpecahan, lemah, tidak berani bersaing, takut menghadapi cabaran, dengki sesama sendiri, mudah terpengaruh dan ajaran salah dan menyesatkan, malahan mereka juga sengaja membiarkan diri mereka terdedah kepada kemurkaan Allah SWT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Kecil Tamparuli 1445H/2024M, di Masjid Ubudiyyah pekan Tamparuli, semalam.

Turut hadir Pegawai Tadbir Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Daerah Kecil Tamparuli, merangkap Pengerusi Pelaksana program, Ustaz Suffian Kundu dan Pengerusi Masjid Ubudiyyah, Salim Osman.

Katanya, amalan mengadakan majlis tilawah, selain menegakkan syiar Islam, juga sebagai platform kepada umat Islam untuk mendekati, menghayati serta mengamalkan petunjuk dan panduan yang terkandung dalam Al-Quran.

Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, berkata, sejarah merakamkan bahawa kebanyakan empayar agung Islam suatu masa dahulu seperti kerajaan Umayyah dan Abbasiyah mampu bertahan dan mengekalkan kegemilangannya selagi mereka dapat memastikan ajaran Islam diikuti dan dihayati.

“Tetapi tatkala ajaran Islam mula dipinggirkan, maka kita dapati empayar-empayar yang menjadi kebanggaan ini mulai jatuh satu demi satu,” tambahnya.

Justeru, sempena Majlis Tilawah Al-Quran tersebut, beliau mengajak semua yang hadir untuk sama-sama memperbaharui tekad dan iltizam untuk menguat dan meneguhkan iman serta penghayatan Islam.

“Mudah-mudahan negara kita dan umat Islam di rantau ini akan muncul sebagai sebuah negara dan satu bangsa yang maju, disegani di mata dunia, serta mampu mengembalikan keagungan Islam seperti masa lampau,” katanya.