KOTA KINABALU, SABAH – Usaha memerangi rasuah dan pengukuhan integriti memerlukan komitmen daripada semua pihak termasuk para pemimpin, penjawat awam, pegawai di sektor swasta, individu dan institusi kekeluargaan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Katanya, hasrat Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat direalisasikan dengan kadar yang lebih cepat sekiranya integriti dapat diterapkan dalam diri penjawat awam dan isu-isu rasuah dapat dikurangkan atau dihapuskan.
Katanya, ini kerana di bawah inisiatif SMJ, kerajaan negeri komited untuk memberikan peruntukan yang besar bagi menjayakan Hala Tuju SMJ yang memfokuskan tiga elemen utama iaitu Sektor Utama Pertumbuhan Ekonomi: Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan, Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat serta Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau.
“Inilah usaha kerajaan negeri yang ingin melihat Sabah terus membangun, berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah setanding dengan negeri-negeri lain.
“Semua usaha yang dilakukan ini akan sia-sia sekiranya pelaksana di peringkat jentera kerajaan dan swasta gagal memahami maksud Sabah Maju Jaya dan gagal menghayati budaya kerja berintegriti dan melakukan perbuatan rasuah” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Program Seminar Kelestarian Integriti (SKI) Bual Santai “Misompuru Tokou: Apa Khabar KK” di Lintasan Deasoka, Jalan Gaya, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong.
Hajiji berkata, integriti dan akauntabiliti yang tinggi dalam kalangan penjawat awam sangat penting untuk memastikan hala tuju, visi dan misi kerajaan dapat dicapai dan dilaksanakan dengan jayanya.
Katanya, ini selaras dengan pelan pembangunan Hala Tuju SMJ yang mempunyai pelbagai insentif untuk membangunkan negeri ini, khususnya ekonomi yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
“Kita amat memerlukan penjawat awam yang mampu menjalankan tugas dengan penuh integriti dan ikhlas.
“Pembudayaan amalan integriti mampu melahirkan warga kerja yang lebih efisien, produktif, beretika dan mampu mewujudkan mekanisme kawalan bagi memastikan peraturan dan dasar yang ditetapkan dipatuhi,” tambahnya.
Menurutnya, penjawat awam perlu sedar nilai integriti tidak terhad kepada satu perkara sahaja, sebaliknya ia melibatkan semua tindakan sama ada melalui penampilan, sikap dan sebarang keputusan yang diambil.
Beliau berkata tanpa mengamalkan budaya kerja berintegriti, semua perancangan akan gagal, menyebabkan berlaku ketirisan besar dalam perbelanjaan kerajaan sehingga imej kakitangan awam kerajaan dan pemimpin negeri tercemar dan rakyat tidak akan lagi mempercayai jentera kerajaan dan perkhidmatan awam.
Hajiji berkata, tahap kepercayaan rakyat kepada kerajaan menjadi elemen penting dalam memastikan sesuatu dasar dirangka dapat dilaksanakan secara berkesan.
“Hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah kepercayaan rakyat berkait rapat keyakinan terhadap perkhidmatan awam. Kepercayaan dan keyakinan rakyat akan bertambah sekiranya perkhidmatan awam mempunyai imej berintegriti, berdaya saing serta efektif,” tambahnya.
Beliau juga mahu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri memberi keutamaan kepada beberapa tujahan untuk memastikan sistem pentadbiran negeri dapat berfungsi dengan berkesan, bebas daripada ancaman rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan berlandaskan prinsip integriti.
Antaranya ialah memperkasakan program integriti di peringkat negeri dengan menyediakan sejumlah peruntukan khas bagi menampung program pengukuhan integriti yang tidak hanya tertumpu kepada taklimat dan ceramah semata-mata, sebaliknya perlu segar, kreatif dan seiring dengan teknologi semasa.