KOTA KINABALU: Seorang guru madrasah yang rakaman keganasannya memukul pelajar di luar sebuah kafe siber tular di media sosial akhirnya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini dan berakhir dengan hukuman denda.
Tertuduh, Saifur Rahman Mohd Ismail, 38, mengaku bersalah atas 13 pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap pelajar madrasah berusia antara 14 hingga 20 tahun.
Perbuatan itu dilakukan dalam tempoh tidak sampai tiga minit, antara jam 11.55 malam hingga 11.58 malam pada 14 Disember lalu, di hadapan premis Gaming Zone di Bandar Sierra.
Rakaman video yang tular menunjukkan tertuduh bertindak ganas tanpa sebarang kawalan diri, termasuk menendang, menumbuk dan memukul pelajar menggunakan topi keledar.
Majistret Dzul Elmy Yunus menjatuhkan hukuman denda RM1,400 bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan RM18,200, atau penjara tiga bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda.
Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, beberapa hari selepas kejadian tersebut, empat ahli keluarga lelaki kepada pelajar terbabit berusia lingkungan 30-an hingga 50-an pula ditahan polis kerana menghalang tugas pihak berkuasa dalam satu operasi susulan di Telipok.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.45 petang ketika anggota polis menjalankan tugas untuk menahan suspek.
Hasil siasatan awal mendapati beberapa individu bertindak agresif dengan menghalang kenderaan polis, menjerit kata-kata kesat, cuba membuka pintu kenderaan serta menendang dan memukul kenderaan polis sehingga mengganggu tugas pegawai.
Pihak polis turut merampas sebatang besi golf yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut dengan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.






