KOTA KINABALU: Seramai 70 banduan di seluruh Sabah dibebaskan secara lesen menerusi Program Pelepasan Banduan Secara Lesen Ihsan Madani: Kepulangan Yang Dinanti sempena Sambutan Hari Natal 2025, anjuran Jabatan Penjara Malaysia.
Daripada jumlah itu, seramai 10 Orang Bebas Bersyarat (OBB) dibebaskan di Kota Kinabalu, melibatkan lapan banduan dari Penjara Pusat Kota Kinabalu dan dua dari Penjara Wanita Kota Kinabalu.
Program berkenaan dilaksanakan oleh Pejabat Pengarah Penjara Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sebagai sebahagian usaha pemulihan dan kemanusiaan.
Majlis pelepasan yang berlangsung di Ruang Suang Hamin, Pejabat Pengarah Penjara Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan itu telah dirasmikan oleh Ketua Bahagian Kepenjaraan dan Koreksional negeri, PP Abu Sufian Mansoor.
Turut hadir ialah wakil beberapa agensi berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Tenaga Kerja Sabah.
Program Ihsan Madani mencerminkan komitmen Jabatan Penjara Malaysia dalam melaksanakan pendekatan pemulihan yang berteraskan nilai ihsan, dengan harapan OBB yang dibebaskan dapat memulakan kehidupan baharu serta menyumbang secara positif kepada keluarga dan masyarakat.






