KENINGAU: Sebuah kereta Toyota Vios melanggar bahagian belakang Perodua Axia sebelum terbabas ke bahu jalan dalam satu kemalangan di Jalan Pampang, kira-kira satu kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, pagi tadi.
Menurut kenyataan BBP Keningau, panggilan kecemasan mengenai kejadian itu diterima pada jam 9.00 pagi dan pasukan bomba tiba di lokasi lima minit kemudian.
“Pemeriksaan mendapati tiada mangsa tersepit dan semua individu terlibat telah keluar dari kenderaan masing-masing dengan bantuan orang awam.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan kerja-kerja penyiraman dan pembersihan bagi menghapuskan tumpahan minyak di permukaan jalan untuk mengelakkan risiko kemalangan susulan,” jelas kenyataan itu di sini, hari ini.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.25 pagi selepas keadaan disahkan selamat.
BBP Keningau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi had laju dan menjaga jarak selamat ketika memandu, terutama di kawasan lampu isyarat serta persimpangan.
“Keselamatan di jalan raya bermula dengan sikap kita sendiri,” menurut kenyataan itu.
 
             
	





