Wanita, Beliawanis Gagasan Rakyat Api Api Sedia Hadapi PRN17

Wanita, Beliawanis Gagasan Rakyat Api Api Sedia Hadapi PRN17

0
SHARE

KOTA KINABALU: Wanita dan Beliawanis Gagasan Rakyat Api Api menyatakan kesiapsiagaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 serta menyokong penuh calon yang diputuskan oleh kepimpinan parti.

Ketua Wanita Gagasan Rakyat Api Api, Salmi Sarinoh berkata, pihaknya akan terus berdiri teguh di belakang keputusan pucuk pimpinan.

“Kami akan menyokong siapa sahaja calon yang ditentukan oleh parti. Kita perlu bijak menilai dan terus fokus kepada kerja parti, bukan melayan provokasi yang mahu memecahbelahkan kesatuan kita,” katanya.

Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat Api Api, Emmie Martin Idang pula menyifatkan kawasan itu sebagai strategik walaupun bukan kerusi milik PGRS ketika ini.

“Api Api merupakan medan penting untuk kita menyampaikan dasar dan perjuangan parti, terutama kepada masyarakat bandar.

“Kehadiran kita di sini mampu memperkenalkan PGRS sebagai parti yang inklusif dan prihatin,” ujarnya.

Tambahnya, gerak kerja di kawasan bandar boleh memberi impak lebih luas.

“Ramai penduduk di sini berasal dari luar daerah. Jika kita dekati mereka, secara tidak langsung kita juga menyampaikan mesej kepada keluarga mereka di kampung,” jelasnya.

Salmi turut menggesa jenteranya agar terus memperkukuh kekuatan dalaman bagi menghadapi cabaran politik yang semakin mencabar.

“Saya menyeru semua Wanita Gagasan Rakyat supaya menyusun langkah lebih tersusun dan tampil berani di medan perjuangan. Kesetiaan dan keteguhan pendirian kita adalah kekuatan sebenar parti,” katanya.

Persidangan kali ini turut menjadi medan menyatukan gerak kerja serta merapatkan hubungan antara pemimpin wanita dan beliawanis, menjelang PRN yang semakin hampir.