PENAMPANG, SABAH – Seorang wanita berusia 18 tahun maut apabila motosikal yang ditunggang teman lelakinya melanggar sebatang tiang lampu di tengah pembahagi jalan di Jalan Papar – Kota Kinabalu pagi tadi.
Dalam kira-kira pukul dua pagi berhampiran Kem Lok Kawi itu, penunggang motosikal berusia 19 tahun cedera parah dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut.
Menurut Ketua Polis Daerah Penampang, Supt Sammy Newton, mangsa wanita disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan bertugas.
“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik HQE untuk tujuan bedah siasat.
“Hasil siasatan awal mendapati penunggang motosikal datang dari arah Kota Kinabalu menuju ke Papar dipercayai dalam keadaan laju.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Pihak polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberi maklumat untuk membantu siasatan,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Beliau juga menasihatkan orang awam supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu di jalan raya dan meminta agar tidak menularkan sebarang imej atau klip video tempat kejadian di rangkaian media sosial bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa terlibat.