TAWAU: Sebuah rumah dua tingkat musnah dalam kebakaran awal pagi tadi di Kampung Rawa-Rawa, Batu 4 Tawau, menyebabkan tiga penghuni cedera ketika cuba menyelamatkan diri daripada api.
Menurut laporan kes, Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan kecemasan pada jam 6.01 pagi dan tiba di lokasi dalam masa sembilan minit.
“Seorang wanita berusia 53 tahun mengalami melecur pada tapak kaki, manakala seorang lagi wanita berusia 41 tahun cedera di bahagian bibir atas dan turut kehilangan sebatang gigi.
“Seorang lelaki berusia 19 tahun pula mengalami kecederaan ringan di kaki.
“Pasukan perubatan kecemasan dari Jabatan Bomba dan Kementerian Kesihatan memberikan rawatan awal sebelum mangsa dihantar ke Hospital Tawau menggunakan unit EMRS bomba dan ambulans Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 6.51 pagi dan dipadam sepenuhnya pada jam 8.27 pagi.






