KOTA KINABALU, SABAH – Timbalan Ketua Penerangan Keadilan Pusat, Razeef Rakimin, menegaskan bahawa Warisan adalah pihak yang terlebih dahulu meninggalkan Pakatan Harapan (PH) apabila memilih untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Menurut Razeef, Warisan sebelum ini begitu yakin bahawa mereka mampu menang lebih banyak kerusi tanpa kerjasama dengan PH.
Namun, keputusan PRU-15 membuktikan sebaliknya apabila parti itu hanya memenangi tiga kerusi dan kehilangan lima kerusi yang disandang, termasuk kerusi Ketua Penerangan Warisan, Azis Jamman, serta Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking.
“Warisan mula bergerak solo selepas memilih untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, di mana semua calon mereka hilang deposit. Mereka juga meletakkan calon di lebih 50 kerusi dalam PRU-15 tetapi akhirnya ditolak oleh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Razeef turut menempelak kenyataan Azis yang menyatakan kesetiaan Warisan terhadap kerajaan perpaduan, sedangkan Presidennya, Shafie Apdal, sendiri pernah mengumumkan bahawa Warisan akan menentang PH di Sabah pada pilihan raya negeri akan datang.
“Tidak hairanlah ramai pihak meragui kesetiaan Warisan kerana mereka sendiri yang memilih untuk keluar dari PH, tetapi kini menuding jari kepada PH,” katanya lagi.
Mengulas mengenai dakwaan bahawa Warisan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Langkah Sheraton, Razeef berkata, sokongan itu diberikan kerana Warisan tidak mempunyai pilihan lain selepas menyokong Tun Dr. Mahathir Mohamad yang meletak jawatan secara mengejut.
Dalam pada itu, beliau turut menyelar Warisan yang menyalahkan PH kerana tidak menyokong usaha Warisan dan Barisan Nasional dalam cubaan menumbangkan kerajaan negeri Sabah menerusi ‘Langkah Kinabalu’.